Sabtu, 10 November 2012

"Menyusur Akar Rentas Anakmuda Lantas Bangkit Bersama"


Bismillahirahmanirrahim.

Memacu belia dan remaja ke landasan sebenar dalam lanskap geo-ekonomi & politik negara menuju tahun 2020 dengan berbagai program transformasi yang dianjurkan kerajaan Barisan Nasional adalah agenda utama Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Langat merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, saudara Zurihan Yusop.

Dengan perhatian khusus YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap kumpulan belia dan remaja sewajarnya belia dan remaja pro-aktif menyahut cabaran YAB Perdana Menteri melakukan lonjakan transformasi dan mengadaptasi senario negara dan global yang mencabar.

Kreativiti serta daya saing tinggi amat diperlukan dalam jati diri belia dan remaja demi kelangsungan atau survival mereka.

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan berbagai insentif dan bantuan di bawah program Dana Belia 1Malaysia dan ia merangkumi aspek perniagaan, pendidikan, pembangunan sosial dan lain-lain.

Dana-dana di bawah label belia ini wajar digunakan sebaik mungkin oleh seluruh belia dan remaja dengan iktikad yang betul.

Jika pada tahun 2011 dan 2012 ini, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan dalam pelbagai skim seperti TEKUN, Skim Tabung Ekonomi Belia (SLEB), Skim Belia Niaga-I (SBN), Tabung Wawasan MARA (WAWASAN) dan lain-lain, 2013 telah diwar-warkan dana sebanyak RM100 juta sebagaimana ucapan YAB Perdana Menteri tidak lama dahulu di KLCC dalam melancarkan program 1M4U.

Secara khusus, belia dan remaja Kuala Langat diseru untuk tampil menonjolkan diri dan menyertai arus perubahan belia dan remaja yang semakin hari semakin mencabar dengan merebut setiap peluang yang ada di hadapan mereka.

Bergeraklah dari sekarang agar belia dan remaja Kuala Langat tidak ketinggalan di bawah kepimpinan Pengerusi MBD, saudara Zurihan Yusop yang sentiasa prihatin terhadap perkembangan anakmuda kita.

Wabilllahitaufik, wassalamu.


0 comments: