Selasa, 29 November 2011

Archive #26 - Facebook Pemuda Kuala Langat

Dilema

by Pemuda Kuala Langat on Thursday, 24 September 2009 at 23:46



Bismillahirrahmanirrahim, segala puji-pujian ke atas-Nya dan salam sejahtera.

Pertama, tidak lewat rasanya untuk sekali lagi mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh sahabat warga FB. Kepada mereka yang sedang berpuasa enam (6), Insya-Allah berkat kesabaran saudara semua akan mencapai kejayaan pada hari terakhir puasa enam (6) tersebut dan turut bersama meraikan Aidilfitri dalam suasana riang dan gembira.

Kedua, sebagai ahli dan penjawat di dalam parti UMNO sukacita ingin PPUBKL2009 mengingatkan para sahabat sekalian akan satu lagi proses demokrasi yang bakal berlangsung di Bagan Pinang. Nawaitu menjadi ahli parti tunjang kepimpinan Kerajaan Malaysia harus disegarkan (refresh). Mencapai kemenangan parti adalah perkara pokok dan menunaikan janji-janji kepada rakyat adalah buah yang harus dipersembahkan.

Ketiga, sedar atas nama 'politik' maka sering berlaku perbalahan sesama manusia. Sama ada perbalahan manusia berlaku antara manusia berlawanan parti mahupun manusia yang berkongsi parti yang sama. Manusia yang berkongsi ras bangsa dan agama mahupun berbeza semuanya.

Apa pun proses perdebatan, hujah serta bertikam lidah adalah atas nama kebaikan manusia yang lain. Manusia ini secara umum bergelar RAKYAT. Demikian itu, kami percaya Satu atau One (1) Malaysia yang dilaungkan oleh Presiden parti selaku Perdana Menteri merupakan satu slogan yang mantap perlu diselami oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira berbeza parti, bangsa mahupun agama.

Namun sekali lagi perlu diingat. Perbezaan pendapat sesama ahli di dalam parti keramat kita UMNO hendaklah ditapis dan diselesaikan secara bijak. Kita tidak perlu terlalu bimbang takut pada perbalahan sesama ahli kerana ianya merupakan satu lagi bentuk demokrasi menyuarakan pendapat. Mereka yang bersaing dengan kita melalui tiket parti lawan juga tidak lepas dari perbalahan sesama sendiri. Malah, kami yang jahil dalam ilmu agama juga mengetahui bahawa proses menentukan suatu hukum itu tidak diambil secara bulat-bulat oleh keseluruhan tokoh agama sepanjang zaman semenjak wafatnya Baginda Rasulullah saw. Sering berlaku perbalahan sesama ilmuwan dan proses ini melahirkan 'khilaf pendapat' oleh setiap tokoh tersebut yang akhirnya sebagai penganut agama Islam yang berfahaman Shafie' memegang kepada pendapat Imam tersebut selain bergantung kepada pendapat jumhur ulama. Tidak ada satu manusia yang sempurna pendapatnya melainkan Nabi terakhir Baginda Rasulullah saw.

Begitulah sinonimnya perbalahan pendapat sesama manusia hingga kepada persoalan berkaitan politik. Akhirnya setiap perbalahan dan selisih pendapat terutamanya bagi kita ahli UMNO wajiblah ditangani atau diselesaikan secara bijak. Itulah bezanya antara kita dengan sahabat kita yang berlainan fahaman politiknya.

Apapun, akhirnya nawaitu suci setiap mereka yang bergelar ahli politik Insya-Allah akan diberkati dan dirahmati oleh Allah swt dalam mengerjakan tugas hablumminannas.

Dan sekali lagi sebagai ahli serta penjawat kepada parti UMNO, adalah harapan kami PPUBKL2009, agar kemenangan menyebelahi kita dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang itu nanti.

Wallahuaklambissawab.

0 comments: