Selasa, 29 November 2011

Archive #12 - Facebook Pemuda Kuala Langat

UMNO - berubah atau diubah?

by Pemuda Kuala Langat on Friday, 20 August 2010 at 16:02


KUASA - adalah satu nikmat yang dikecapi oleh UMNO selama 53 tahun Malaysia berdiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Sepanjang tempoh tersebut, UMNO menerajui tampuk pemerintahan negara bersama-sama parti komponen yang lain membentuk Perikatan dan kemudiannya terkenal sebagai Barisan Nasional (BN). Ianya satu jangka masa yang cukup panjang untuk membuatkan ahli-ahlinya mulai mendongak langit dan enggan tunduk ke bumi, besar kepala serta angkuh.

Maka tidak hairanlah, Tun Mahathir pernah berkata bahawa.. "UMNO mulai busuk hingga ke ususnya" dan itulah gambaran yang amat jelek dilihat oleh orang ramai yang tiada kepentingan dalam parti serta politik. Itulah konsep asas berpolitik yang disebut "absolute power corrupts absolutely".

Sikap sebilangan besar ahli-ahlinya (walaupun tidak semua) yang enggan atau ingkar untuk berubah (walaupun telah menerima pengajaran yang cukup bermakna pada PRU.12 yang lalu) adalah racun arsenik yang membunuh sedikit demi sedikit jasad UMNO.

Budaya seperti :-

  • selesa,
  • tidak mahu bekerja jika tidak diupah,
  • berpolitiking melebihi berkhidmat kepada masyarakat,
  • cantas mencantas,
  • hasad dan dengki sesama ahli,
  • dendam kesumat sesama ahli,
  • merajuk kerana kedudukan atau imbuhan,
  • boikot jika kemahuan tidak diikuti atau dipenuhi,
  • menunjuk-nunjuk kemewahan serta kekayaan,
  • terlalu bersikap ekslusif hingga tidak mahu rapat dengan orang-ramai yang tidak berparti atau berjawatan,
  • tidak menunjukkan keikhlasan bekerja atau berkhidmat sebaliknya terang dan jelas kelihatan (oleh orang ramai) bersifat hipokrit hanya mahukan undi dan pengaruh sahaja,
  • mementingkan diri sendiri dari kehendak ahli-ahli apatah lagi parti,
  • hanya syok sendiri dengan program-program yang diri sendiri merasakan perlu walhal tidak mendapat pandangan ramai terutama ahli peringkat akar umbi dan orang ramai yang tidak berparti tetapi mengharapkan agar parti dapat membantu mereka,
  • melihat bahawa jawatan di dalam parti boleh membawa kepada faedah diri sendiri semata,
  • apabila tersingkir, amarah terlampau hingga sanggup mensabotaj

dan lain-lain lagi yang terlalu banyak untuk ditulis dan diperkatakan.

Sebenarnya, perkara-perkara yang disebut di atas bukannya dialami oleh UMNO sahaja tetapi semua parti sama ada ianya parti dalam perikatan kerajaan mahupun pembangkang. Ianya adalah lumrah sifat semulajadi manusia yang tidak maksum dan jauh sekali dari sempurna seperti sifat malaikat.

Namun, kerana keselesaan atas kuasa yang dipegang selama 53 tahun menjadikan parti UMNO terlalu ketara kelihatan cacat dan celanya berbanding parti-parti dari kelompok pembangkang.

Inilah yang menaikkan kemarahan serta sentimen kebencian pengundi-pengundi di luar sana. Dan ianya menjadi begitu mudah oleh pihak lawan terutamanya membakar api kemarahan mereka dengan hidangan pelbagai persepsi negatif dan buruk lagi tanpa perlu memikirkan kebenaran atau kesahihan cerita-ceriti yang musuh sajikan.

Apakah kita mampu berubah? atau setidak-tidaknya berniat serta mengusahakan untuk berubah? Kerana perubahan ini adalah mesin jangka hayat UMNO untuk terus berkuasa dan diterima rakyat.

Rakyat pada hari ini yang berlatar-belakangkan pendidikan yang baik dan sempurna (ironinya, ia adalah atas kemajuan yang dibawa oleh UMNO serta BN) terlalu bijak hingga mampu menilai sifat-sifat baik atau sebaliknya bukan terhadap parti UMNO itu sendiri tetapi terhadap ahli-ahli serta pemimpin yang terdapat dalam parti UMNO itu sendiri. Jika mereka melihat ahlinya buruk, maka yang terpalit adalah UMNO secara keseluruhan.

Namun percayalah, transformasi akan dan sedang berlangsung di dalam UMNO. Terpulang kepada ahlinya untuk menentukan nasib mereka sendiri. Jika mereka tidak mahu berubah, nescaya rakyat serta pengundi akan mengubahnya.

HANYA BILA UMNO TIDAK BERKUASA, MAKA PERUBAHAN ITU SECARA SEMULAJADI AKAN TERHASIL. MEREKA YANG KONONNYA BERJUANG UNTUK AGAMA, BANGSA DAN NEGARA AKAN MELARIKAN DIRI DARI UMNO. KERANA APA? KERANA DUDUK DALAM UMNO "TIDAK BOLEH CARI MAKAN LAGI". NAH! HANYA YANG TINGGAL ADALAH MEREKA YANG BETUL-BETUL MAHU BERJUANG BAHKAN SANGGUP BERKORBAN HARTA WANG RINGGIT UNTUK TERUS MENEGAKKAN UMNO DAN BUKAN UMNO BERKORBAN WANG DAN RINGGIT UNTUK AHLINYA.

Mudah-mudahan apa yang kami nyatakan di atas adalah salah dan sebenarnya UMNO serta ahlinya tidak begitu. Maka, sebagai ahli UMNO, BUKTIKANLAH!

Wallahua'lambissawab.


atau

0 comments: