Selasa, 29 November 2011

Archive #21 - Facebook Pemuda Kuala Langat

WAHAI AHLI UMNO.. RENUNGLAH SEJENAK!

by Pemuda Kuala Langat on Saturday, 10 October 2009 at 00:51




Bismillahirrahmanirrahim, puji-pujian kepada Allah s.w.t. dan sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. itu adakah Rasul-Nya.

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.

Persidangan Agung kembali lagi bemula 13 haribulan Oktober ini. Kepada semua perwakilan dari bahagian-bahagian UMNO seluruh negara, diucapkan selamat bersidang. Lakukanlah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh seluruh ahli UMNO di bahagian anda dengan penuh ikhlas dan tawadhu' demi memperkasakan agama kita Islam, bangsa Melayu serta memacu pembangunan negara kita, Malaysia.

Sukacita PPUBKL memetik laporan dari Berita Utama TV3 (9hb Okt 2009) yang menyelitkan persiapan bagi persidangan yang bakal berlangsung nanti dan usaha "meremajakan UMNO" menjadi fokus.

Sebagai ahli kepada parti yang disayangi UMNO, PPUBKL merasakan bahawa 'highlight' tersebut adalah tepat sekali.

Terdapat beberapa perkara yang berlegar dalam kotak pemikiran PPUBKL untuk dipertimbangkan oleh semua perwakilan yang bakal bersidang nanti. Walaupun umum mengetahui bahawa hanya dua (2) perkara utama yang akan dibawa, dibincang dan diputuskan dalam persidangan itu nanti iaitu soal pindaan Perlembagaan parti tetapi tidak salah kiranya pemikiran PPUBKL ini dapat dibawa dalam sembang-sembang perwakilan tidak kira sama ada sewaktu makan tengahari, minum kopi di malam hari mahupun sejurus sebelum tidur di kamar penginapan para perwakilan nanti.

Mari kita kosongkan minda dari berbagai isu lain. Mari kita tumpukan kepada soal kesihatan dan keselamatan. Kesihatan dan keselamatan setiap ahli UMNO itu sendiri. Kesihatan dan keselamatan saudara, kesihatan dan keselamatan saya mahupun kesihatan dan keselamatan setiap sahabat kita yang sama-sama berjuang di dalam UMNO.

Saudara dan saya sudah pasti mempunyai latar belakang yang berbeza. Mungkin saudara tidak begitu bertuah mempunyai pekerjaan dan sumber pendapatan yang baik dari saya. Mungkin juga saya tidak bertuah dari sahabat kita yang lain. Apatah lagi jika hendak dibandingkan diri kita dengan Ketua UMNO di bahagian kita. Jauh lagi bezanya dengan mereka yang dapat memegang jawatan tinggi di dalam kabinet kerajaan negeri mahupun persekutuan. Namun demikian, sebagai ahli tugas dan matlamat kita semua (tidak kira berjawatan mahupun tidak) adalah sama. Memperjuangkan, mempertahankan serta memperkasakan UMNO dengan cara dan kaedah tersendiri.

Satu titik persamaan hendaklah dicari dan ianya bukan sekadar persamaan ideologi dalam memperjuangkan UMNO. Satu titik persamaan hendaklah dicapai dalam bentuk fizikal yang dapat dilihat dan dirasa bersama. Dalam perihal ini, PPUBKL merasakan menjaga kebajikan atau maslahat setiap ahli UMNO secara adil dan saksama hendaklah dibuat. Ianya dibuat bukan sekadar untuk dilihat tetapi juga dirasai dan dijiwai.

Bukan untuk 'copy-paste' atau plagiat. Tetapi saya mengajak saudara-saudara sekalian kembali sewaktu kempen 'presidency' yang dilakukan oleh tokoh 'Republican', Senator Barrack Obama hingga membawa kejayaannya sebagai Presiden Amerika Syarikat.

"Reins in the cost of health care: It will provide more security and stability to those who have health insurance. It will provide insurance to those who don't. And it will lower the cost of health care for our families, our businesses, and our government" - Barrack Obama.

Mari kita kaitkan dalam konteks kepartian.

Sudah sampai masanya kebajikan kesihatan dan keselamatan setiap ahli UMNO itu terjaga dan terbela. Ahli UMNO tidak lagi boleh hanya bergantung harap kepada institusi-institusi kesihatan awam seperti klinik kesihatan awam, klinik pergigian awam mahupun hospital awam dengan hanya kerana kerajaan itu adalah didukung oleh UMNO. Ahli UMNO hendaklah diberikan sedikit keistimewaan atau 'privilege'. Ahli UMNO hendaklah dibela sebagaimana ahli UMNO itu sendiri membela UMNO khususnya dan masyarakat awam secara amnya. Status ahli UMNO tidak lagi boleh disamakan dengan status masyarakat yang berbilang bangsa, agama serta ideologi. Ahli-ahli UMNO hendaklah diangkat martabatnya sebagai pejuang kepada agama, bangsa dan negara.

Sejajar dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan bahawa hari ini isu kesihatan mula diambil berat oleh setiap masyarakat. Kenaikan kos kesihatan agak membebankan. Ahli-ahli UMNO sendiri tidak terlepas dari bebanan kos ini. Mereka di luar UMNO sering merasakan bahawa ahli UMNO sentiasa terbela melalui persepsi ahli UMNO kenal pemimpin kerajaan dan mudah mendapat bantuan.

Hakikatnya, ahli-ahli UMNO sendiri dibebani masalah kos kesihatan ini. Ahli-ahli di peringkat akar umbi terutamanya, tidak mendapat apa-apa keistimewaan dari mana-mana pimpinan tertinggi. Kebiasaannya mereka hanya menerima sumbangan yang tidak seberapa ikhlas dari pimpinan di bahagian. Apalah sumbangan RM200-300 apabila kos untuk rawatan dialisis memerlukan ribuan ringgit dalam jangka masa yang panjang? Bagaimana dengan sakit-sakit lain? Puluhan ribu hanya untuk satu operasi pembedahan. Atau pembayaran sebanyak RM50.00 untuk rawatan demam biasa tetapi terpaksa ke klinik swasta kerana faktor 'kecemasan' dan jarak.

Ini semua membebankan. Terutama yang berpendapatan rendah. Tetapi mereka juga adalah ahli UMNO, yang melapangkan masa serta menyumbang tenaga dalam kempen-kempen pilihanraya terutamanya pilihanraya kecil. Yang bersengkang mata dan memerah otak serta tenaga untuk melaksanakan atau menjayakan program-program yang dianjurkan oleh cawangan atau bahagian mereka. Atau setidak-tidaknya mereka akan sentiasa hadir dalam mesyuarat untuk menunjukkan bahawa mereka sayangkan parti mereka UMNO. Dan pastinya lima (5) tahun sekali mereka akan keluar untuk menzahirkan ketaatan mereka kepada parti dengan membuang undi. Bagaimana pula dengan suami atau isteri serta anak-anak yang sering ditinggalkan kerana kepatuhan serta taat setia ahli ini kepada parti?

Apakah ini tidak berbeza dengan masyarakat di luar sana yang tidak berpolitik? Adakah status perjuangan mereka sama rata dengan masyarakat di luar sana? Jawapan yang pasti adalah TIDAK. Justeru itu setiap ahli UMNO tidak kira jawatan mahupun status hendaklah dibela dengan satu skim kesihatan dan keselamatan oleh parti yang didukung mereka, UMNO.

Kepada perwakilan khususnya, atau setiap yang bergelar ahli UMNO umumnya, satu skim perlindungan kesihatan dan keselamatan yang memberi manfaat tidak sahaja kepada ahli-ahli tersebut bahkan kepada waris dan keluarga mereka hendaklah difikirkan.

Apa juga bentuk halangan atau rintangan yang tidak membolehkan skim ini dicari dan dibentuk hendaklah diatasi. Tiada alasan untuk mencari jawapan bagi perlaksanaannya. Bahkan, kami PPUBKL yakin, jika perlu untuk menaikkan sedikit yuran tahunan ahli dari RM1.00 kepada beberapa ringgit tetapi merangkumi skim perlindungan kesihatan dan keselamatan pasti ianya akan disahut dengan gembiranya oleh setiap ahli UMNO terutamanya mereka yang berada di bawah atau bergelar 'akar-umbi'.

Lebih dari itu, mungkin juga ia mampu untuk menjadi daya penarik kepada masyarakat di luar sana untuk menjadi ahli UMNO itu sendiri. Wallahuaklam'bissawab.

Pertimbang-timbangkanlah.

Akhir kata, dikesempatan ini PPUBKL mengucapkan selamat bersidang kepada setiap deligasi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia nanti.

Sekian, wassalam.

PPUBKL2009

0 comments: